Istilah gaya
hidup pada asalnya dicipta oleh ahli psikologi Austria,
Alfred Adler, pada 1929. Pengertiannya
yang lebih luas, sebagaimana difahami pada hari ini, mula digunakan sejak 1961.
Dalam bidang sosiologi,
gaya hidup ialah cara bagaimana seseorang hidup. Gaya hidup ialah kumpulan ciri
tingkah laku yang bererti kepada kedua-dua orang-orang lain dan diri sendiri
dalam sesuatu masa dan tempat, termasuk hubungan sosial, penggunaan, hiburan,
dan pakaian.
Tingkah laku dan amalan dalam gaya hidup merupakan campuran tabiat, cara lazim membuat
sesuatu, serta tindakan berdasarkan logik. Gaya hidup biasanya membayangkan sikap, nilai, dan pandangan dunia seseorang. Justera, gaya
hidup ialah cara untuk memupuk konsep
kendiri serta mencipta simbol kebudayaan yang menggemakan
identiti peribadi. Namun bukan semua aspek gaya hidup bersifat sukarela pada
sepenuhnya. Sistem-sistem sosial dan teknikal di sekeliling boleh menyekat
pilihan gaya hidup serta simbol yang dapat digunakan untuk menonjolkan gaya
hidup kepada orang-orang lain dan diri sendiri.
Sempadan antara identiti peribadi dengan
perbuatan sehari-hari yang menandakan sesuatu gaya hidup semakin kabur dalam
masyarakat moden. Misalnya, "gaya hidup hijau" bermakna memegang
kepercayaan dan melakukan kegiatan-kegiatan yang menggunakan kurang sumber
serta menghasilkan kurang sisa yang berbahaya (iaitu jejak karbon yang lebih kecil) dan
mencapai penghargaan diri menerusi pemegangan kepercayaan dan pembuatan
kegiatan-kegiatan tersebut. Sesetengah pengulas mendebat bahawa dalam kemodenan, asas pembinaan gaya hidup ialah
tingkah laku penggunaan yang menawarkan kemungkinan untuk mencipta dan
membezakan diri lagi menerusi produk dan perkhidmatan yang menandakan gaya
hidup yang berbeza.
Politik
Istilah "gaya hidup" dalam bidang politik
sering digunakan untuk memberikan gagasan bahawa masyarakat perlu menerima
berbagai-bagai cara hidup. Ini berdasarkan sudut pandangan bahawa segala
perbezaan antara cara-cara hidup adalah cetek dan bukannya eksistensial.
"Gaya hidup" kekadang juga digunakan secara pejoratif untuk
menonjolkan sesetengah cara hidup sebagai cara hidup pemilihan atau cara hidup
sukarela, bertentangan dengan cara-cara hidup yang lain yang dianggap sebagai
gaya hidup utama atau normatif.
Dalam bidang anarkisme,
anarkisme gaya hidup ialah
pandangan bahawa sesebuah masyarakat anarkisme boleh dibentuk dengan mengubah
kegiatan-kegiatan peribadi, berbanding dengan melibatkan diri dalam perjuangan kelas.
Pengiklanan dan pemasaran
Dalam bidang perniagaan,
"gaya hidup" memberikan para pengiklan dan pemasar
cara untuk menyasarkan dan memadankan kehendak
pengguna dengan produk mereka, atau untuk
mewujudkan minat terhadap produk baharu mereka. Justera, para pemasar mengkaji
pola kepercayaan dan tindakan yang mencirikan gaya-gaya hidup pengguna dan
mendorong mereka ke arah pembelanjaan dan penggunaan. Pola-pola itu
membayangkan faktor-faktor demografi (tabiat, sikap, cita rasa, taraf kesusilaan,
tahap ekonomi,
dan sebagainya) yang mentakrifkan kelompok sasaran pemasar. Sebagai binaan yang
mengarahkan manusia untuk berinteraksi dengan dunia-dunia mereka sebagai
pengguna, gaya-gaya hidup tertakluk kepada perubahan oleh tuntutan inovasi
pemasaran dan teknologi.
No comments:
Post a Comment